Teh Tarik Punca Ramai Golongan Muda Kena Strok

DR BALWANT SINGH BAINS… “Jika kita tidak ubah cara hidup kita, terutama budaya teh tarik, kejadian serangan strok di kalangan generasi akan datang pasti akan teramat tinggi kadarnya.”

Selain membawa pelbagai pengharapan, kedatangan tahun barujuga membawa khabar menggerunkan kepada rakyat Malaysia iaitu semakin ramai golongan muda di negara ini terdedah kepada serangan strok antaranya akibat kegemaran meminum teh tarik.

Pakar fisioterapi Dr Balwant Singh Bains, yang pernah merawat beberapa orang kenamaan termasuk anggota keluarga diraja dari Asia Barat akibat serangan strok, berkata selain teh tarik, minat rakyat Malaysia terhadap makanan berasaskan daging juga mendedahkan mereka kepada penyakit yang amat berbahaya itu.

“Jika kita tidak ubah cara hidup kita, terutama budaya teh tarik, kejadian serangan strok di kalangan generasi akan datang pasti akan teramat tinggi kadarnya,” katanya.

Sambil melahirkan kebimbangannya mengenai kegilaan rakyat negara ini terhadap teh tarik yang kandungan utamanya ialah susu isian pekat, Dr Bains berkata: “Kencing manis dan tekanan darah tinggi merupakan pembunuh terbesar di negara ini. Seseorang yang menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi adalah ibarat bom jangka dan banyak bom jangka sedang bergerak di Malaysia yang akan meletup pada bila-bila masa.”

Dr Bains, yang mengendalikan klinik fisioterapi bagi merawat mangsa strok di sini, melahirkan kebimbangannya tentang kegilaan rakyat Malaysia terhadap teh tarik berdasarkan gerai menjual minuman itu yang terdapat di serata tempat di negara ini.

“Pada masa ini, strok meragut banyak nyawa dalam masyarakat kita. Malaysia merupakan satu-satunya negara yang banyak menggunakan susu isian pekat dalam minuman teh sedangkan susu isian pekat mempunyai kandungan gula yang amat tinggi,” katanya.

Dr Bains berkata keadaan demikian tidak berlaku di Thailand dan Indonesia kerana rakyat masing-masing lebih gemar meminum kopi tanpa dibancuh dengan susu isian pekat.

“Tapi, rakyat Malaysia adalah pengguna terbesar susu isian pekat di dunia, dan oleh kerana itu, jumlah kes kencing manis di negara ini agak tinggi,” katanya.

Dr Bains berkata kanak-kanak di Malaysia juga terdedah kepada teh tarik sejak usia yang terlalu muda dan keadaan ini adalah sesuatu yang malang “hinggakan mereka tidak mengambil sarapan yang sewajarnya.”

“Secara umum, rakyat Malaysia meneguk teh tarik seawal pukul 8 atau 9 pagi sebagai suatu kemestian. Ada kalanya, mereka makan roti yang disapu dengan susu isian pekat. Sebenarnya, susu isian pekat adalah pembunuh,” katanya.

“Ini amat menyedihkan, rakyat Malaysia mula minum teh tarik sejak muda lagi dan ia sudah menjadi suatu budaya. Saya berpendapat tahap kesedaran kesihatan di kalangan rakyat negara kita pada umumnya masih terlalu rendah.

“Di negara ini, kita tidak ada budaya teko teh. Budaya teko teh adalah suatu budaya yang lahir daripada meminum teh Cina, atau meminum teh atau kopi tanpa susu isian pekat,” katanya.

Dr Bains berkata sekiranya orang ramai tidak dididik tentang bahaya yang terdapat dalam cara hidup yang sedang mereka amalkan, terutama di peringkat sekolah, “maka kita akan menghadapi masalah serius”.

Beliau juga bimbang tentang kesan buruk yang akan dihadapi oleh rakyat negara ini akibat terlalu banyak memakan daging.

“Kita terlalu banyak makan daging, tak kiralah daging apa yang dimakan. Rakyat Malaysia boleh dikatakan makan daging setiap hari,” katanya.

Dr Bains berkata satu lagi tabiat yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan rakyat negara ini ialah kegemaran mereka menggunakan santan dalam masakan, dan oleh kerana mengandungi kolestrol yang tinggi, santan menjadi penyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan.

Dr Bains, yang juga pakar dalam bidang psikologi, turut meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula pendekatan yang diamalkan dalam pendidikan jasmani dan sukan di sekolah pada masa ini.

“Pendekatan terhadap sukan yang kita amalkan di sekolah tidak betul. Tiba-tiba kita adakan acara merentas desa. Tiada senaman awal dibuat oleh murid yang terlibat, mereka juga tidak buat persiapan sebelum mengambil bahagian dan kebanyakan mereka yang tidak sepatutnya mengambil bahagian dalam acara itu diminta berlari jarak jauh.

“Kita tidak boleh terus begini kerana ia akan mengakibatkan banyak kecederaan seperti luka pada buku lali dan lutut. Malahan, ramai murid yang mengambil bahagian dalam acara merentas desa tidak mengambil sarapan,” katanya.

Dr Bains berkata kebanyakan guru yang mengendalikan pendidikan jasmani juga tidak mendapat latihan dalam bidang itu.

“Panduan sewajarnya mengenai pendidikan jasmani tidak ada dan saya rasa pendekatan kita terhadap sukan masih bersifat primitif,” katanya.